Sejarah.
Pasukan Beruniform Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah diluluskan penubuhannya oleh Jemaah Menteri pada 18 Januari 1995. Pelancaran penubuhan KRS telah disempurnakan oleh YB Dato' Sri Najib b. Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia pada 20 Jun 1995 di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Kuala Lumpur. Pada bulan November-Disember tahun yang sama, seramai 300 orang guru thlah dilatih sebagai jurulatih Kadet Remaja Sekolah peringkat negeri.
Pelaksanaan Kadet Remaja Sekolah sebenarnya mempunyai keunikan konsep dan falsafahnya yang tersendiri yang membezakan pasukan ini dari pasukan-pasukan beruniform yang lain. Kegiatan yang dijalankan, digandingkan dengan unsur-unsur pengukuhan dan pemantapan jiwa dan rohani setiap anggota pasukan. Pelajar yang menganggotai pasukan ini bukan sahaja dibangunkan dari aspek jasmaninya melalui kegiatan kegiatan yang mencabar inteleknya melalui kegiatan-kegiatan kreatif, bahkan juga jiwa dan rohaninya melalui amalan-amalan langsung ibadah khusus dan umum.
Lagu.
Kadet Remaja Sekolah,
Menuju satu ikatan bersaudara,
Bersatu menjulang, keamanan Negara,
Menjayakan ilmu, iman dan amal.
Marilah kita membina peribadi,
Membentuk insan yang kreatif,
Ke arah kecemerlangan diri,
Sepanjang masa yang berterusan.
Remaja sambutlah cabaran,
Menjadi bangsa Malaysia,
Maju dan cemerlang, remaja berwawasan,
Jangan kita lupa kepada pencipta.
Remaja hayati budaya,
Ilmu, iman dan amal,
Kekalkan di hati dan jiwamu,
Wawasan Kadet Remaja Sekolah.
Tujuan Penubuhan.
Membentuk generasi pelajar yang menjiwai semangat perpaduan, memiliki ketrampilan diri, berdaya saing, kreatif serta inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
Membantu mengembangkan semua aspek potensi manusia yang berteraskan ilmu dan amal ke arah pembinaan dan pengukuhan sahsiah pelajar yang mengamalkan nilai-nilai murni selaras dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Negara demi menjayakan Wawasan 2020.
Menangani masalah salah laku di kalangan para remaja seperti salah guna dadah, melepak dan juvana.
Mempelbagaikan kegiatan pasukan beruniform di sekolah bagi menyediakan para pelajar memperoleh pengetahuan, pengalaman, kemahiran, kebolehan mengurus dan memimpin.
membina generasi pelajar patriotikyang menjiwai semangat cintakan agama, bangsa dan negara.
Melahirkan generasi pelajar yang mengetahui, memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni serta mampu memberikan sumbangan demi kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Membina dan mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan mengenai isu-isu semasa di kalangan pelajar srta berkeupayaan untuk bertindak sewajarnya.
Pengertian logo.

Perisai melambangkan benteng ketahanan diri daripada segala gejala tidak sihat.
Bulan dan bintang melambangkan AGAMA ISLAM sebagai agama rasmi Negara Malaysia.
Dua tangkai padi bersilang melambangkan resmi padi iaitu berilmu dan berketrampilan serta matang dan rasional dalam semua tindakan.
Buku yang terbuka dan rehal melambangkan peranan institusi-institusi pendidikan yang mementingkan tradisi ilmu untuk semua tanpa mengira keturunan dan kaum, agama dan latar belakang budaya ke arah melahirkan bangsa Malaysia selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Warna hijau melambangkan alam sekitar yang sihat.
Warna merah melambangkan keperwiraan dan sedia berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara yang tercinta.
Warna kuning melambangkan warna diraja yang menjadi tonggak kedaulatan Negara Malaysia.
Warna putih melambangkan keikhlasan serta kesucian.
Bendera KRS.

Warna Hijau Melambangkan :
Tunas muda/remaja yang masih boleh dibentuk.
Laluan hidup yang jelas untuk masa depan.
Alam sekitar merupakan sebahagian daripada kurikulum KRS.
Cogan kata.
" Beriman, Berilmu, Beramal "
IMAN -Keimanan yang mendalam merupakan asas pembinaan diri
ILMU -Asas keintelektulan dan ketrampilan ahli KRS
AMAL-Penghayatan dan perlakuan gaya hidup sihat yang berterusan merupakan natijah daripada kekuatan intelektual dan disiplin diri